build a site for free

Bagaimana Kami Mulakan Bisnes Homestay

Secara tiba-tiba sahaja. 
Ya, secara tiba-tiba. Walaupun suami saya sudah lama pasang niat untuk beli rumah untuk dijadikan homestay, tetapi memandangkan kami tidak mampu untuk menambahkan lagi komitmen bulanan maka impian suami saya semakin malap.

Sehinggalah, pada suatu hari Jumaat petang, apabila suami saya balik dari kerja terus beritahu ada 2 unit rumah untuk disewa. Bersebelahan. Tidak jauh dari rumah kami. Suami saya terus kongsikan idea untuk sewa kedua-dua rumah untuk dijadikan homestay.

"Senang untuk ayang nak manage nanti. Tak jauh dari rumah", dengan selamba sahaja si suami terus menyerahkan tugasan kepada saya yang mana ketika itu saya baru sahaja beberapa bulan berhenti kerja. 
"Malam nanti kita pusing area rumah tu nak? Amik nombor telefon", sambungnya lagi tanpa sempat saya berkata apa-apa.

Maka malam itu juga selepas mengambil anak-anak dari tuisyen, kami pun tinjau kawasan perumahan terletaknya rumah sewa tersebut. Tiba sahaja di hadapan rumah, terbentang kain rentang merentasi kedua-dua pagar rumah dengan nama dan nombor telefon tuan rumah. "Owner sama?", tanya saya. Suami berhentikan kereta. Disuruhnya saya ambil maklumat yang tertera di kain rentang. Selesai sahaja ambil nama dan nombor telefon tuan rumah sewa, kami pun terus balik.

Sedang kami berehat setelah anak-anak masuk tidur, suami pun hubungi tuan 
rumah. Sebagai isteri yang 'prihatin', maka saya pun pasang telinga sepanjang perbualan mereka sambil tangan melipat baju dan mata tonton televisyen. Semasa perbualan, suami ada beritahu hasratnya menyewa rumah untuk dijadikan homestay. Perbualan mereka biasa-biasa sahaja sehinggalah suami saya berkata, "Ok baik tuan, kira setujulah. Esok saya bankin deposit."

I was like.... WHAT??

"Ayang, kita tak tengok lagi rumah tu macam mana. Ok ke tak rumah tu? Proper planning pun tak ada lagi nie", mula bebelan sang isteri yang mula risau dengan pelaburan yang bakal dibuat oleh sang suami. 

"No turning back", katanya. Kemudian suami berkata lagi, "Ayang macam tak excited je nak buat homestay nie." Nak excited macam mana? Saya bukannya ada pengalaman berniaga. Ibubapa saya pula kakitangan kerajaan, tidak pernah berniaga pun. Sejujurnya saya tidak ada sebarang perasaan ketika itu kecuali sedikit risau.

*****

Keesokkan harinya, hari Sabtu. Petang. 
Kami hantar anak-anak ke kelas tuisyen. Sementara menunggu anak-anak habis kelas, suami ajak ke kedai perabot. Nak survey katanya. Saya pun ikutkan saja tanpa sebarang bantahan.

Tiba sahaja di kedai perabot, pembantu kedai datang menyapa kami. Suami pun terus beritahu hendak beli perabot untuk homestay. Maka, si pembantu kedai pun mula menunjukkan perabot-perabot yang sesuai kerana ianya tahan lasak dan berbaloi. Suami pun mula memilih katil berjenis divan (nak nampak gaya hotel katanya), sofa 3 seater sahaja (sebab tidak mahu nampak sempit di ruang tamu), meja makan untuk 6 orang, almari televisyen dan meja tulis. Saya pun tidak ambil peduli sangat sebab katanya nak survey sahaja. Selesai sahaja proses pilih, suami pun tanya pembantu kedai, "Berapa nak kena bayar deposit?"

Again, I was like... WHAT??

Apabila suami nampak muka saya yang terkejut dan pelik, dia pun berkata sekali lagi, "No turning back".

Selesai bayar desposit perabot, kami ke bank untuk buat bayaran deposit rumah sewa pula. Pada ketika ini, saya sedar bahawa suami saya sememangnya serious dengan perancangannya. Jadi, mahu tidak mahu saya kena berada di belakangnya. Mulalah otak saya ligat berfikir hendak buat apa dan bagaimana. This is serious!

Malamnya pula, tuan rumah berjanji hendak jumpa dan serahkan kunci rumah pada jam 9 malam. Kami pun tunggu. Setibanya tuan rumah, pintu rumah sewa pun dibukanya. Dinyalakan lampu. Sekali lagi saya terkejut. Mulalah dialog dengan diri sendiri, "Dah cakap dah... kena tengok rumah dulu macam mana. Ni dah siap bayar deposit. Teruknyalah rumah ni". Saya tidak berani hendak bersuara ketidakpuashatian saya pada suami di hadapan orang lain. Dinding berconteng, paip pecah, pintu bilik air sudah reput, lampu tidak menyala dan banyak lagi. Maka, saya pun mula mencatat setiap kerosakan yang perlu dibaiki pada kedua-dua rumah.

Selesai mencatat, maka saya pun berkata pada suami, "This is your part. Just have to make sure everything is in order before we start to operate. Tak nak ada apa-apa rosak dan Mas nak semua dinding cat balik". Suami pun mula berbincang dengan tuan rumah tentang kerosakan yang perlu dibaiki. Setelah mendapat persetujuan bersama, kami mula beredar pulang. 

*****

Suami saya minta masa 1 bulan untuk baiki kerosakan dan cat semula rumah. Sementara itu, saya mula membuat laman web homestay dan facebook page sebagai alat pemasaran kami. Maka pada 16 September 2013, The Terrace Homestay Kuantan mula beroperasi. 


© Copyright 2013~2018 The Terrace Homestay Kuantan - All Rights Reserved